Sunday 9 September 2012





VIDEO KOLEKSI PERIBAHASA MELAYU

VIDEO PERIBAHASA KACANG LUPAKAN KULIT

VIDEO PERIBAHASA MALU-MALU KUCING

PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH


BAHASA  MELAYU

  Kurikulum Bahasa Melayu digubal  bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu me n y e d i a k a n  mu r i d   u n t u k  me n g u a s a i   k e c e k a p a n   b e r b a h a s a   d a n berkomunikasi dan  dapat menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat. Selain itu,murid mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan  daripada mata pelajaran yang lain di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca,  dan Kemahiran  Menulis.  Kemahiran bahasa ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa  ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi  tujuan  rekreasi. Sukatan pelajaran ini  juga memberikan  pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza  di kalangan murid. Aktiviti kokurikulum Bahasa Melayu yang dijalankan di luar waktu sekolah adalah penting sebagai sokongan bagi memantapkan kemahiran berbahasa murid.    
       Sukatan Pelajaran memberikan  gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung  matlamat, objektif, dan organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Terdapat enam dokumen sampingan yang dikenali sebagai Huraian Sukatan Pelajaran untuk panduan guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Huraian Sukatan  Pelajaran ini disediakan bagi setiap  tahun, iaitu dari tahun satu hingga tahun enam.

MATLAMAT
Matlamat Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.
 
OBJEKTIF
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:
     i. mendengar  pengucapan dengan teliti dan memahami serta
        menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
    ii. bertutur petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai
        situasi;
     iii. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai
         persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
  iv. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan menggunakan
       teknik  membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan  
       memproses maklumat secara kritis;
     v. memupuk minat membaca sebagai satu amalan  ke arah membina budaya
         pembelajaran berterusan;
    vi. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan
        nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis;
    vii. mengenali dan menghasilkan pelbagai  jenis penulisan kreatif dan berunsur
        pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang    
        sesuai dan betul;
    viii. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata,  tatabahasa, dan
        sebutan  yang  betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
     ix. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya
        berunsur ilmu; dan
     x. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme,
        dan perasaan cinta akan negara.

ORGANISASI KANDUNGAN
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah  digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum. 

Kemahiran Bahasa
Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

Kemahiran Mendengar 
Kemahiran Mendengar merupakan  keupayaan murid mendengar dengan teliti ,  memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas. 

Kemahiran Bertutur
Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan  menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea  yang  kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi  kepada  penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

Kemahiran Membaca 
Kemahiran Membaca merupakan keupayaan murid membaca ayat dengan lancar  serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi  kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. 
   
 Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan  keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan  ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk prosa, puisi, dan grafik.

Hasil  Pembelajaran
Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan Hasil  Pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran.   Justeru, Hasil Pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, Hasil Pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan yang berfokus kepada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat memb a n t u  mu r i d  me n c a p ai  Ha s i l   P emb e l a j a r a n .   S e l a i n   i t u ,  Ha s i l Pembelajaran juga dapat  membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

Sistem Bahasa
Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada  tatabahasa, ejaan,  sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa.  Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat dalam mata pelajaran yang  lain  pada peringkat rendah. 

Pengisian  Kurikulum
Pengisian Kurikulum  terdiri  daripada elemen yang menggabungkan perkembangan terkini dalam pendidikan  yang meliputi aspek  ilmu, nilai, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi,  kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai, kewarganegaraan, dan patriotisme diberi  penekanan selaras dengan matlamat negara membangunkan masyarakat madani.

(Sumber : Kementerian Pelajaran Malaysia )


SISTEM BAHASA


Pengenalan
Sistem Bahasa merupakan salah satu komponen yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Fokus dalam Sistem Bahasa ialah pada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa.

Tatabahasa
Salah satu bukti kemahiran berbahasa seseorang ialah kebolehan menguasai tatabahasa. Ia meliputi kebolehan bertutur dengan sebutan, nada dan intonasi yang betul, dan menulis dengan sistem ejaan yang tepat.  Oleh sebab itu, kecekapan berbahasa perlu diajarkan secara terancang dan bersesuaian dengan konteks pembelajaran sejak murid berada di sekolah rendah lagi. Lazimnya, pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah rendah menitikberatkan aspek penggunaan. 
                        Terdapat beberapa tujuan pengajaran tatabahasa (1995: 11 – 12), iaitu 
          mengetahui kelainan erti perkataan yang imbuhannya berbeza-beza dan   
          menggunakannya dengan betul, tepat dan gramatis dalam lisan dan penulisan, 
          menggunakan pelbagai jenis kata dalam pelbagai konteks;
(c)           menggunakan frasa yang betul;
(d)           membina ayat yang betul, tepat dan gramatis, dan
(e)            membina pelbagai jenis dan bentuk ayat dalam pelbagai konteks dengan betul.

        Tatabahasa terbahagi kepada dua, iaitu aspek morfologi dan aspek sintaksis.

       (a)    Morfologi
Secara mudah, aspek morfologi ialah berkenaan kajian tentang perkataan dan pembentukannya. Secara khusus, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR (2003) menerangkan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata, dan golongan kata. Tiga aspek itu diajar sejak sekolah rendah lagi.

Struktur kata ialah susun atur bentuk bunyi sesuatu perkataan apabila diujarkan. Ia juga merangkumi aspek susunan lambang-lambang huruf (tulisan) sehingga menjadi satu unit (kesatuan) bahasa atau perkataan yang bermakna. Maksud bermakna dalam konteks ini ialah bagaimana membunyikan setiap huruf dalam perkataan berkenaan hingga menghasilkan bunyi yang betul, atau susunan huruf yang betul apabila dibunyikan dan ada makna.  Contohnya, huruf vokal (v), huruf konsonan (k), dan pola suku kata. 

(a)              Huruf Vokal Bahasa Melayu : [a], [e], [i], [o], dan [u]
(b)           Huruf Konsonan Bahasa Melayu : [b], [c], [d], [f], [g], [h], [j], [k], [l], [m], [n], [p], [q], [r], [s], [t], [v], [w], [x], [y] dan [z].

Terdapat dua pola suku kata bahasa Melayu. Pertama, pola suku kata asli bahasa Melayu, dan kedua, pola suku kata pinjaman bahasa Melayu. Setiap suku kata terdiri, sama ada, KV, VK, KVK, VKV, VKVK, KKVK dan sebagainya.  Manakala, yang dikatakan bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa (perkataan / gabungan huruf) yang bermakna. Bentuk kata boleh terdiri daripada;

(a)           kata tunggal (kata tidak menerima imbuhan dan ada makna);
(b)           kata terbitan (kata telah menerima imbuhan);
(c)            kata ganda (kata tunggal yang digandakan); dan
(d)  d      kata majmuk (terdiri daripada beberapa kata tungga yang membentuk satu makna). 

Kata terbitan ialah kata tunggal yang menerima imbuhan bagi menghasilkan perkataan lain. Makna kata terbitan adalah berbeza dengan makna kata tunggal. Dalam ilmu bahasa, penerimaan imbuhan itu dipanggil proses pembentukan kata. Ada tiga cara proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Pertama, pengimbuhan, iaitu kata tunggal menerima imbuhan dan menghasilkan perkataan baharu yang dipanggil sebagai kata terbitan.

(i)                 Imbuhan awalan : ber-, be-, bel-, me-, mem-, men-, meng-, menge-, memper-, di-, ter-, pe-, pem-, pen-, per-, peng-, penge-, pel-, se-, ke-,  maha-, tata-, pra-, pro-, dan anti-. 
                
             Kata tunggal   +   imbuhan awalan   =   kata terbitan
 ( Lari            +             pe-                =       pelari )

(ii)               Imbuhan akhiran : -an, -i, -kan, -wan, -man, -wati, dan –nita. 
                       
             Kata tunggal   +   imbuhan akhiran   =   kata terbitan
 ( Lari            +            -an                  =        larian )

(iii)             Imbuhan apitan : me- ... –kan, mem- ... –kan, men- ... –kan, meng- ... –kan, menge- ... –kan, me- ... –i, mem- ... –i, men- ... –i,  meng- ... –i, ke- ... –an, pe- ... –an, pem- ... –an, pen- ... –an, peng- ... –an, penge- ... –an, per- ... –an, pel- ... –an, di-- ... –kan, dan di- ... –i.

Kata tunggal   +   imbuhan apitan   =   kata terbitan
( Lari             +        pe- ... –an        =        pelarian )

Kedua, kata tunggal menerima pengandaan dan menghasilkan perkataan baharu yang dipanggil sebagai kata terbitan. Formulanya;

Kata tunggal   +   pengandaan    =    kata terbitan
( Orang           +         orang            =    orang-orang )

Ketiga, kata tunggal menerima kata tunggal dan menghasilkan kata majmuk yang dipanggil sebagai kata terbitan, atau istilah atau metafora. Ia terdiri daripada beberapa kata tunggal, sama ada kata tunggal itu telah menerima imbuhan atau belum. Formulanya;
 Kata tunggal    +    kata tunggal    =    kata majmuk
                                         ( Segi            +          empat         =     segi empat )
                                          ( Merah       +          hati              =     merah hati )

Golongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi perkataan berkenaan. Terdapat empat jenis golongan kata dalam bahasa Melayu, iaitu;

  •    kata nama (perkataan yang menggambarkan nama sesuatu);
  •   kata kerja (perkataan yang menggambarkan perbuatan); 
  •   kata adjektif (perkataan yang menggambarkan sifat sesuatu); dan      
  •   kata kata tugas (perkataan yang menggambarkan fungsi sesuatu).

Kata tugas dalam bahasa Melayu terdiri daripada;

(i)                kata hubung
(ii)              kata seru
(iii)            kata tanya
(iv)            kata perintah
(v)              kata pangkal ayat
(vi)            kata bantu
(vii)          kata penguat
(viii)        kata penegas
(ix)            kata nafi
(x)              kata pemeri
(xi)            kata sendi
(xii)          kata pembenar
(xiii)        kata bilangan, dan
(xiv)        kata arah.

    (b)   Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan pembentukan ayat. Berbeza dengan morfologi yang mengkaji bentuk perkataan, sintaksis mengkaji gabungan beberapa bentuk kata yang membina ayat atau terhasilnya ayat. Aspek sintaksis yang dikaji ialah;
(a)                 komponen ayat, iaitu unsur-unsur utama yang terdiri daripada kata, rangkai kata, 
             frasa, klausa, subjek, dan predikat ayat; 
(b)                  jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan; 
(c)                  ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif; 
(d)                  susunan ayat, iaitu susunan biasa dan susunan songsang; 
(e)                  binaan ayat, iaitu ayat dasar, ayat tunggal, ayat terbitan atau ayat majmuk; 
(f )                   proses penerbitan ayat, iaitu konsep ayat terbitan, proses pengguguran, proses
              penyusunan semula, proses peluasan; dan 
(g)                  aspek tanda baca dalam ayat.


Sistem Ejaan
Perkataan yang diberikan penekanan ialah (a) pola keselarasan huruf vokal, (b) ejaan kata pinjaman, dan (c) ejaan kata dasar dan kata terbitan.  Sistem ejaan rumi bahasa Melayu terdiri daripada keselarasan vokal, kata pinjaman, kata terbitan, kata ganti singkat, kata sendi / kata sendi nama, kata majmuk, kata nama, kata pertikel dan kata ganda. Sistem ejaan diajar agar murid dapat mengeja sesuatu perkataan dengan betul supaya makna perkataan bersamaan dengan maksud ujaran.

Sebutan dan Intonasi
Tekanan nada ketika membunyikan huruf atau perkataan (sebutan) dan intonasi nada adalah mempunyai maksud atau makna berlainan. Oleh sebab itu, murid wajar diajar cara-cara menyebut (membunyikan huruf atau perkataan) dan tekanan atau intonasi nadanya dengan cara yang betul. Kemahiran yang diperlukan ialah membezakan bunyi huruf atau suku kata dan tekanan nada dalam situasi yang berbeza supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat. Pengajaran sebutan hendaklah dalam bahasa Melayu baku. Manakala, pengajaran intonasi ayat hendaklah mengikut pola ayat yang betul berdasarkan jenis-jenis ayat. Di samping itu, pola intonasi bagi ayat panjang juga hendaklah diajar agar murid dapat menyampaikan maksud dengan jelas. Sebaik-baiknya, guru hendaklah memulakan pengajaran menggunakan ayat tuggal mudah. 

Kosa Kata
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR (2003)  menjelaskan bahawa kosa kata terdiri daripada kata-kata umum dan kata-kata khusus atau disebut istilah khusus. Setiap bidang ilmu mempunyai kata-kata khusus dengan ilmu dalam bidangnya. Murid hendaklah diajar mengenali dan membezakan istilah khusus setiap bidang ilmu. Misalnya, istilah ‘subjek’ ayat dalam ilmu bahasa adalah berbeza maksud dengan istilah ‘subjek’ yang merujuk nama-nama mata pelajaran. Demikian istilah ‘segi empat tepat’ hanya terdapat dalam Matematik atau Sains. Istilah itu tidak terdapat dalam bidang ilmu Sejarah atau Geografi. Guru hendaklah selalu mendedahkan kosa kata kepada pelajar agar pembendaharaan katanya bertambah dan pelbagai. Galakkan murid menggunakan istilah-istilah yang sesuai dengan bidang ilmu yang berkenaan. Salah satu aktiviti memperkayakan kosa kata ialah mencari makna seerti, makna berlawanan, atau menjawab teka silang kata.

Peribahasa
Yang dimaksudkan dengan peribahasa ialah rangkai kata yang mempunyai yang mempunyai makna tertentu. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, dan kata-kata hikmah. Pengajaran peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Galakkan murid menggunakan peribahasa dalam karangan-karangan yang mereka hasil. Tujuannya, ialah agar karangan tersebut lebih bertenaga, bervariasi dan menarik dibaca.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan didapati bahawa Sistem Bahasa turut berperanan menambahkan kemahiran berbahasa murid-murid.  Walaupun dalam setiap sesi pengajaran mempunyai objektif tertentu yang hendak dicapai, namun guru tidak boleh mengabaikan aspek bahasa kerana kebolehan murid berbahasa dengan baik akan mempengaruhi kejayaan objektif pengajaran guru. Sebaik manapun objektif, jika murid tidak dapat mengungkapkan isi pelajaran dengan menggunakan bahasa yang baik, pengajaran guru itu tetap dianggap gagal. Justeru, guru hendaklah memberi tumpuan terhadap aspek berbahasa murid. Malah, keberkesanan pengajaran guru dan kejayaan murid dalam pembelajarannya adalah bergantung kepada kemampuan guru dan murid menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan.


Rujukan
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1995.
Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2003.
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maniyamin bin Haji Ibrahim dan Ahmad Rasol bin Ariffin, 2007. Analisis
Kesilapan Ejaan Bahasa Melayu: Satu Kajian Kes. Bukit Mertajam: Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tuanku Bainun.