Sunday 9 September 2012

PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH


BAHASA  MELAYU

  Kurikulum Bahasa Melayu digubal  bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu me n y e d i a k a n  mu r i d   u n t u k  me n g u a s a i   k e c e k a p a n   b e r b a h a s a   d a n berkomunikasi dan  dapat menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat. Selain itu,murid mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan  daripada mata pelajaran yang lain di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca,  dan Kemahiran  Menulis.  Kemahiran bahasa ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa  ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi  tujuan  rekreasi. Sukatan pelajaran ini  juga memberikan  pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza  di kalangan murid. Aktiviti kokurikulum Bahasa Melayu yang dijalankan di luar waktu sekolah adalah penting sebagai sokongan bagi memantapkan kemahiran berbahasa murid.    
       Sukatan Pelajaran memberikan  gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung  matlamat, objektif, dan organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Terdapat enam dokumen sampingan yang dikenali sebagai Huraian Sukatan Pelajaran untuk panduan guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Huraian Sukatan  Pelajaran ini disediakan bagi setiap  tahun, iaitu dari tahun satu hingga tahun enam.

MATLAMAT
Matlamat Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.
 
OBJEKTIF
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:
     i. mendengar  pengucapan dengan teliti dan memahami serta
        menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
    ii. bertutur petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai
        situasi;
     iii. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai
         persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
  iv. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan menggunakan
       teknik  membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan  
       memproses maklumat secara kritis;
     v. memupuk minat membaca sebagai satu amalan  ke arah membina budaya
         pembelajaran berterusan;
    vi. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan
        nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis;
    vii. mengenali dan menghasilkan pelbagai  jenis penulisan kreatif dan berunsur
        pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang    
        sesuai dan betul;
    viii. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata,  tatabahasa, dan
        sebutan  yang  betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
     ix. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya
        berunsur ilmu; dan
     x. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme,
        dan perasaan cinta akan negara.

ORGANISASI KANDUNGAN
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah  digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum. 

Kemahiran Bahasa
Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

Kemahiran Mendengar 
Kemahiran Mendengar merupakan  keupayaan murid mendengar dengan teliti ,  memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas. 

Kemahiran Bertutur
Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan  menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea  yang  kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi  kepada  penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

Kemahiran Membaca 
Kemahiran Membaca merupakan keupayaan murid membaca ayat dengan lancar  serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi  kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. 
   
 Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan  keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan  ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk prosa, puisi, dan grafik.

Hasil  Pembelajaran
Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan Hasil  Pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran.   Justeru, Hasil Pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, Hasil Pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan yang berfokus kepada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat memb a n t u  mu r i d  me n c a p ai  Ha s i l   P emb e l a j a r a n .   S e l a i n   i t u ,  Ha s i l Pembelajaran juga dapat  membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

Sistem Bahasa
Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada  tatabahasa, ejaan,  sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa.  Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat dalam mata pelajaran yang  lain  pada peringkat rendah. 

Pengisian  Kurikulum
Pengisian Kurikulum  terdiri  daripada elemen yang menggabungkan perkembangan terkini dalam pendidikan  yang meliputi aspek  ilmu, nilai, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi,  kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai, kewarganegaraan, dan patriotisme diberi  penekanan selaras dengan matlamat negara membangunkan masyarakat madani.

(Sumber : Kementerian Pelajaran Malaysia )


No comments:

Post a Comment