Friday 7 September 2012

JENIS-JENIS PERIBAHASA MELAYU


Jenis-Jenis Peribahasa Melayu
Peribahasa merangkumi simpulan bahasa,perumpamaan,pepatah,bidalan,perbilangan,kata-kata hikmah dan bahasa kiasan. Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu:

1) Simpulan Bahasa
            Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

Ciri-ciri Simpulan Bahasa

a) Terbentuk daripada penggunaan kata nama am - anak buah, anak emas, buah tangan, lipas kudung.
b) Terbentuk daripada penggunaan kata kerja - ajak-ajak ayam, buat bodoh, pasang telinga,cakar ayam
c) Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif - besar kepala, bodoh sepat,kecil hati, berat hati
d) Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas - Abu Jahal,Mat Jenin,Pak Kaduk
e) Terbentuk daripada nilai kepercayaan - air pinang, batu buyung, makan bulan


2) Perumpamaan
            Perumpamaan ialah susunan kata-kata yang indah, ringkas dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat. Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama. Contoh perumpamaan : bagai aur dengan tebing,seperti api dalam sekam, bak bulan dipagari bintang.


3) Pepatah
            Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Sebagai contoh, diam ubi berisi, diam besi berkarat bermaksud orang yang pendiam tetapi berakal itu lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.

4) Bidalan
            Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran. Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong.

5) Perbilangan
            Perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan berkembang di daerah Minangkabau dan Palembang yang dikenali sebagai 'Adat Minangkabau'.
              Di Malaysia, perbilangan adat ini banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu digunakan dalam Adat Pepatih. Perbilangan adat ini diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi.Perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada kedatangan Islam, perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan oleh perbilangan ini :
                                Adat bersendi hukum
                                Hukum bersendi Kitabullah
                                Kuat adat, tak gaduhkan hukum
                                Kuat hukum, tak gaduhkan adat
                                Ikut hukum, muafakat
                                Ikut adat muafakat 



6) Kata Hikmat
            Kata hikmat merujuk kepada kata-kata pujangga, ulama atau orang bijak pandai. Kata hikmat dijadikan pedoman hidp dan percakapan umum. Bentuknya ringkas tetapi mempunyai maksud yang benar dan dalam.Mengikut Kamus Dewan, kata hikmat atau kata pujangga ialah perkataan orang bijak pandai yang mempunyai pengertian yang tinggi. Ini bermaksud ungkapan yang berupa nasihat, panduan dan peringatan serta dijadikan pedoman hidup, contohnya "bahasa menunjukkan bangsa", "bersatu teguh bercerai roboh", "maju bangsa maju negara" dan sebagainya. Zaaba juga menyebut tentang kategori yang sama sebagai lidah pendeta yang didefinisikan sebagai perkataan yang bijak,pendek,sedap, benar dan berisi. 

1 comment: