Wednesday 5 September 2012

KAJIAN HUBUNGAN PELBAGAI SITUASI DALAM PERIBAHASA MELAYU









KAJIAN HUBUNGAN PELBAGAI SITUASI DALAM PERIBAHASA MELAYU



1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan
            Orang Melayu memang terkenal dengan kehalusan budi dan kelembutan berbahasa. Sesuatu hajat, hasrat dan permintaan tidak dinyatakan secara terus terang tetapi lebih manis kalau diungkapkan secara berkias dan beribarat. Budaya Melayu yang telah diwarisi sejak zaman berzaman jelas memancarkan kelembutan bahasa dan kelunakan pengucapan.Kelembutan pengucapan dan kehalusan berbahasa ini dipertahankan generasi demi generasi melalui apa yang dianggap sebagai kelompok kata atau ayat yang mempunyai susunan dan bentuk yang tetap dan mendukung maksud yang tertentu pula.Jenis yang lazim terpakai di kalangan masyarakat ialah peribahasa, pepatah, bidalan, perumpamaan, kiasan dan simpulan.
Pada hari ini, dalam dunia tanpa sempadan peribahasa masih merupakan salah satu keistimewaan bangsa Melayu. Keistimewaan itu ialah kerana kekayaan bahasa Melayu yang digunakan yang kaya dengan pelbagai bentuk peribahasa di dalamnya. Bentuk-bentuk ini sangat aktif digunakan dalam kehidupan sehari-harian.


1.2  Objektif
i) Dapat mengenal pasti makna peribahasa
ii) Menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi

1.3 Kaedah
 Kaedah yang digunakan untuk menyiapkan kertas kerja ini ialah secara kajian
perpustakaan dengan merujuk kepada buku-buku ilmiah yang berkaitan.

1.4 Batasan
 Batasan kajian ini hanya merangkumi definisi peribahasa dan penggunaan peribahasa dalam pelbagai situasi.

1.5 Definisi Konsep 
1.5.1 Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, sama ada secara tersurat atau tersirat.
1.5.2 Simpulan Bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan tersebut.
1.5..3 Pepatah ialah ungkapan-ungkapan yang berasal usul daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan itu tidak akan berubah-ubah.
1.5.4 Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi sebagai penasihat yang didalamnya terkandung unsur nasihat.
1.5.5 Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama.


2.0 Jenis-Jenis Peribahasa 
2.1 Simpulan Bahasa
Contoh-contoh simpulan bahasa ialah:
2.1.1 Hari jadi bermaksud hari ulang tahun atau tarikh lahir
2.1.2 Langkah kanan bermaksud nasib baik
2.1.3 Buka mulut bermaksud bercakap
2.1.4 Lampu hijau bermaksud keizinan melakukan sesuatu

Simpulan bahasa boleh menjadi perumpamaan apabila diberi perkataan-perkataan ‘laksana’,’bak’,’umpama’,’bagai’,’ibarat’ dan ‘seperti’ di hadapannya.



2.2 Pepatah 
Pepatah mempunyai ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Pepatah juga berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam.Contoh-contoh pepatah ialah:
2.2.1 Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati bermaksud apabila alat-alat kerja sudah rosak atau hilang, maka kerja-kerja tergendala.
2.2.2 Pada sangka pohon beringin,kiranya tersandar dipunggur lapuk bermaksud menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin.
2.2.3 Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai bermaksud jimat cermat ialah tangga kejayaan,murah hati ialah tangga tuah.
2.2.4 Zaman beralih, musim bertukar bermaksud segala sesuatu, baik perasaan,peraturan,rekaan atau ilmu pengetahuan akan berubah mengikut perkembangan masa.


2.3 Bidalan
Contoh-contoh bidalan ialah:
2.3.1 Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya bermaksud kerja
yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan.
2.3.2 Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat bermaksud kunci kejayaan ialah pada sifat sabar dan tekun.
2.3.3 Tujuh kali pindah jadi papa bermaksud perbuatansuka berpindah randah dan bertukar-tukar kerja tidak mendatangkan sebarang keuntungan.
2.3.4 Ukur baju di badan sendiri bermaksud lakukan sesuatu mengikut kemampuan dan keupayaan sendiri.

2.4 Perumpamaan
Istilah pinjaman bahasa Inggeris bagi perumpamaan ialah ‘simili’.
Contoh-contoh perumpamaan ialah:
2.4.1 Laksana golok kayu, ditetak tak makan, dijual tak laku bermaksud sesuatu yang tidak mendatang sebarang faedah.
2.4.2 Umpama membungkus api bermaksud menyimpan rahsia yang lambat laun akan diketahui orang juga.
2.4.3 Laksana perempuan mandul baru beranak bermaksud kegembiraan dan kesyukuran yang amat sangat kerana mendapat sesuatu yang hampir-hampir putus asa.
2.4.4 Bak mentimun bengkok bermaksud tidak dianggap penting dan diketepikan orang.


3.0 Hubungan Peribahasa Dalam Pelbagai Situasi
           Peribahasa lahir daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang diteliti oleh masyarakat Melayu lama. Peribahasa Melayu ini dapat mencerminkan kehidupan masyarakat di kala itu. Sikap dan tingkah laku seseorang sering sahaja diteliti oleh ahli masyarakat Jika seseorang ahli masyarakat itu melakukan perkara-perkara yang kurang menyenangkan maka teguran akan diberikan secara tidak langsung .
Kadang-kadang sindiran ditujukan secara maksud tersirat yakni melalui peribahasa. Contohnya gambaran pada sikap negatif seseorang iaitu sikap jahat. Seseorang manusia itu dibandingkan dengan manusia-manusia yang jahat dalam sejarah manusia yang lalu iaitu Abu Dajal , Abu Jahal , Jin Afrit , jahat bagaikan syaitan atau pelesit.
            Sikap kedekut pula diberikan peribahasa yang berbunyi ‘air digenggam tiada tiris’, tangkai jering dan ketam batu. Mengikut kaedah ini sesuatu benda itu dibandingkan dengan benda yang lain yang serupa sifatnya walaupun rupa bentuknya berlainan. Dalam peribahasa ini, sikap kedekut seseorang itu dibandingkan dengan air yang digenggam rapat. Adalah sesuatu yang tidak logik menggenggam air. Kenapa pula tangkai jering digunakan pula untuk menunjukkan sikap kedekut? Buah jering sememangnya sukar untuk dipisahkan dari batangnya. Untuk memisahkannya dari batangnya memerlukan sedikit tenaga kerana ia liat. Keliatannya ini menjadikan orang-orang tua membuat perbandingan dengan sikap manusia.
            Sikap negatif manusia yang malas pula digambarkan sebagai ‘curi tulang’ ataupun ‘bagaikan ular sawa kekenyangan’. Gambaran ular sawa yang tidak dapat berjalan selepas membaham mangsanya dibandingkan dengan manusia yang malas terutama selepas makan. Di samping itu, sikap malas seseorang itu juga dikaitkan sebagai peluk tubuh, berat tangan, berat hati dan berat tulang. Sikap malas ini banyak dikaitkan dengan berat anggota fizikal seseorang.
         Sebaliknya sikap suka mencuri pula dikaitkan dengan tangan. Ini kerana tangan manusialah yang mengambil barang-barang. Contoh peribahasa yang digunakan ialah panjang tangan, cepat tangan dan pantas seperti tangan beruk. Seseorang yang panjang tangannya ataupun cepat tangannya akan dapat mengambil barangan orang lain dengan pantas dan cekap.
            Sikap negatif yang lain pula ialah sikap pentingkan diri sendiri. Sikap ini dikaitkan dengan enau. Tumbuh-tumbuhan enau memang banyak terdapat di negara ini. Enau ini memang cepat tumbuh untuk mencari cahaya matahari. Jadilah peribahasa yang berbunyi seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Manusia bagaikan enau ini memang banyak terdapat dalam masyarakat kita .
Di bandar-bandar, corak kehidupan masyarakat tidak ubah seperti enau. Masing-masing sibuk mencari rezeki tanpa memperdulikan orang lain. Keduniaan merubah sikap baik manusia. Sebaliknya di kampung-kampung tradisional yang belum banyak diserapi arus pembangunan, sifat bergotong-royong masih diamalkan. Sekiranya kenduri diadakan, semuanya bekerjasama tanpa mengira upah. Peribahasa yang bertepatan dengan sikap ini ialah hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah. Segala masalah dikongsi bersama seperti peribahasa yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Sikap kerjasama ini akan mewujudkan pemuafakatan sesama sendiri. Ini dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
            Selain itu, sifat negatif yang lain ialah sikap pembohong. Cakap sedikit akan dipanjangkan menjadi banyak. Contoh peribahasa di sini ialah cakap sejengkal dibawa sehasta. Seseorang yang suka mendedahkan keburukan diri sendiri pula dikaitkan dengan membuka pekung di dada sendiri atau campak baju nampak kurap, atau ludah ke langit, menimpa batang hidung sendiri dan tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
            Peribahasa Melayu memang banyak menyatakan sikap positif seseorang. Seseorang yang inginkan sesuatu mestilah perlu berusaha sendiri untuk mendapatkannya. Sikap ini dikaitkan dengan peribahasa yang berbunyi kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, dan dimana ada kemahuan di situ ada jalan, siapa gatal dialah yang menggaru dan siapa menjala, sebaliknya yang mengena. Setiap kejayaan yang diharapkan bukan dengan mudah boleh diperolehi. Ini semuanya memerlukan ketekunan dan kesungguhan serta kesabaran. Ini bertepatan dengan pepatah yang mengatakan ‘yang pipih tidak akan datang melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek’.
            Dalam usaha mengejar kejayaan dan kekayaan seseorang amat mementingkan masa. Masa, sesuatu yang amat berharga sehingga disamakan nilainya dengan emas. Terbitlah peribahasa yang berbunyi masa itu emas, masa itu lebih mahal dari permata. Ajaran Islam juga menuntut kita menghargai masa. Ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya manusia menghargai masa seperti yang terkandung dalam surah al Asr.
        Hubungan kekeluargaan dalam masyarakat Melayu amatlah dititikberatkan. Hubungan keluarga yang jauh cuba dieratkan. Walaupun hubungan itu bau-bau bacang, ianya cuba dipereratkan melalui ziarah-menziarahi. Hubungan silaturahim sentiasa terjalin walaupun berjauhan.Andainya berlaku pergaduhan atau perkelahian sesama anggota keluarga, ianya pastilah tidak akan berpanjangan kerana air dicincang tidak akan putus serta carik-carik bulu ayam, lama-lama akan bertaut kembali. Pergaduhan sesama adik beradik tidak melarat sehingga berpatah arang.
            Di dalam kamus am, peribahasa disenaraikan di bawah kata masukan. Dalam Kamus Dewan, di bawah kata masukan ‘ibu’ terdapat peribahasa bahasa ibu, rumah ibu, ibu afrit, ibu angkat, ibu ayam, ibu haruan, ibu pembohong, ibu pertiwi, ibu tangga dan seperti anak ayam kehilangan ibu.Kata ‘anak’ diungkapkan dalam peribahasa sebagai anak bapa yang bermaksud anak yang disayangi oleh bapanya ataupun anak yang bernai dan sanggup bertanggungjawab. Anak emas memberi erti seseorang yang disayangi oleh keluarganya ataupun oleh ketua dan majikannya. Anak angkat,anak tut dan , anak ambil memberi maksud yang sama iaitu anak orang lain yang diambil dan dipelihara seperti anak sendiri. Selain daripada itu terdapat juga peribahasa lain seperti anak tiri,anak kandung,anak tekak, anak dapat,anak ayam,anak bulan, anak tunggal,anak yatim,anak manja,anak gampang,anak haram,anak sumbang dan anak buah. Kata rumah dalam peribahasa dikaitkan sebagai rumah haram, bermakna rumah yang dibina di atas tanah kerajaan dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak pemerintah. Rumah kilat maksudnya rumah haram yang dibuat dalam tempoh satu malam sahaja. Rumah pasung pula bererti balai polis. Rumah ibu menunjukkan bahagian rumah yang menjadi asas pada bangunan rumah itu manakala rumah dapur ialah bahagian dapur sesebuah rumah. Seterusnya rumah sorong dinamakan pada bahagian tambahan sesebuah bangunan ataupun rumah.
            Untuk membandingkan rupa bentuk seseorang pula, sesuatu yang hendak diceritakan itu dibandingkan dengan benda-benda yang lain yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Contohnya seseorang yang tinggi dan kurus, umpamanya seperti tiang telefon. Oleh itu terciptalah peribahasa ‘ perempuan itu bagai tiang telefon’. Contohnya seseorang tua yang tidak boleh bekerja lagi dibandingkan dengan ‘Quran buruk’ sedangkan kedua-dua benda ciptaan Allah ini sangat berlainan rupa bentuknya; yang satu manusia dan yang satu lagi kitab suci. Seseorang yang menjadi orang harapan majikan dikatakan sebagai ‘ harimau tambatan’ kerana antara kedua-duanya mempunyai sifat yang serupa.
            Peribahasa Melayu banyak membandingkan manusia dengan benda-benda lain dalam masyarakat tempatan. Misalnya gambaran kecantikan dan ketampanan pasangan pengantin, seperti cincin dengan permata, bagai pinang dibelah dua dan bagai tanduk bersendi gading. Seseorang yang mendapat keuntungan secara tiba-tiba dikaitkan dengan mendapat durian runtuh, bulan jatuh ke riba, dapat harta karun dan dapat harta timbul. Walaunpun usahanya sedikit namun keuntungan yang diperolehi ialah secara tidak disangka-sangka. Ini bergantung pada nasib seseorang. Seseorang yang bernasib baik atau ‘lucky’ ia langkah kanan.
            Peribahasa yang diungkapkan oleh orang-orang tua dahulu amatlah indah dan puitis bahasanya. Ianya sering digunakan dalam perbualan seharian secara tidak langsung. Misalan yang dibuat sebahagian besarnya adalah merujuk kepada alam ciptaan Tuhan seperti tumbuhan dan haiwan. Ayam adalah haiwan ternakan yang dicipta dalam peribahasa, bagai anak ayam kehilangan ibu,ayam tambatan dan ajak-ajak ayam. Perlakuan ayam diperhatikan dan dibandingkan dengan manusia yang berkelakuan hampir sama dengan ayam tersebut. Seperti ayam, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang yang membawa maksud keadaan hidup seseorang yang sangat susah. Bekerja hari ini untuk mendapat makanan hari ini sahaja. Rabun ayam menunjukkan seseorang yang kurang jelas penglihatannya pada waktu senja.
            Gajah dan harimau adalah binatang liar yang diumpamakan dalam peribahasa seperti gajah mati kerana gadingnya yang bermaksud mendapat kecelakaan kerana kelebihannya. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama menunjukkan orang yang baik meninggalkan nama yang baik, sebaliknya orang yang jahat meninggalkan nama yang jahat pula. Gajah terdorong kerana gadingnya dan harimau terlompat kerana belangnya bermakna berbuat sesuatu yang kurang baik kerana kelebihannya.
            Harimau ialah binatang liar yang amat ditakuti. Untuk memberi perlambangan sifat garang pada seseorang , harimau dikaitkan dalam peribahasa. Contohnya harimau beranak muda yang bermaksud keadaan seseorang yang sangat bengis atau garang. Amat ditakuti dan digeruni oleh orang lain. Harimau menyembunyikan kuku memberi erti seseorang yang bijaksana tetapi menyembunyikan pengetahuan dan kebolehannya seerti juga dengan orang yang berpura-pura bodoh atau pun orang yang berani tetapi berpura-pura takut. Harimau juga lambang kekuasaan dan kekuatan. Peribahasa yang berbunyi harimau takut sebab giginya memberi maksud orang besar ditakuti sebab kekuasaannya. Manusia berani bila memegang tampuk kekuasaan. Manusia juga akan jadi sombong, bongkak,takbur serta hilang perikemanusiaan bila memegang kuasa.
            Pipit merupakan seekor burung yang menjadi contoh dalam peribahasa Melayu. Pipit hendak menjadi enggang diibaratkan kepada seseorang yang ingin melakukan sesuatu yang melebihi kesanggupan diri sendiri. Manakala peribahasa yang berbunyi pipit itu, pipit jugalah lawannya menunjukkan setiap sesuatu itu menurut taraf masing-masing. Pipit pekak makan berhujan bermaksud orang yang sangat rajin. Pipit yang makan padi, merbah terbawa rendung pula memberi makna orang lain yang mendapat kesenangan, orang lain pula yang menanggung akibatnya.
            Manakala anjing sebagai binatang jinak dikaitkan dalam peribahasa sebagai haiwan yang dilambangkan dengan sifat jahat, seperti anjing makan muntahnya bererti orang yang tamak itu tidak dapat membezakan di antara yang baik dengan yang jahat. Anjing menyalak bukit, bukit tak akan runtuh dan anjing menyalak di ekor gajah membawa maksud walau bagaimanapun celaan dan cemuhan yang dibuat oleh orang yang lemah atau jahat ke atas seseorang yang kuat ataupun baik, celaan dan cemuhan itu tidak akan memberikan apa-apa kesan. Anjing kalau biasa makan tahi, tidak makan pun dihidu ada juga yang ditujukan kepada orang yang biasa melakukan kejahatan itu walau bagaimanapun dia akan teringat juga akan perbuatan jahatnya dan akan membuatnya jika mempunyai kesempatan. Manakala peribahasa yang berbunyi ekor anjing, betapapun dilurut, tiada betul juga memberi maksud seseorang yang jahat itu tidak dapat diajar kerana sekali-sekala dia akan berbuat jahat juga.
            Binatang lain yang dikaitkan dalam peribahasa ialah itik di air mati kehausan; ayam di kepuk mati kelaparan menunjukkan maksud keadaan kesusahan seseorang meskipun mempunyai wang yang banyak ataupun berpangkat tinggi. Ikan tergantung kucing tunggu bererti mengharapkan sesuatu barang yang sangat diingini. Kucing kurap ditujukan kepada orang yang sangat miskin atau pun hina. Kutu embun pula bermaksud seseorang atau pun orang yang suka berjalan sehingga jauh malam tanpa tujuan tertentu.
Kutu adalah sejenis binatang yang hidupnya merayap. Embun pula menunjukkan waktu dinihari. Seperti kerbau dicucuk hidungnya diibaratkan kepada orang yang bodoh dan sentiasa mengikut sahaja kehendak orang lain, samalah seperti pak turut. Peribahasa kumbang putus tali dan belut digetil ekor membawa maksud keadaan orang yang lari dengan pantas apabila terlepas dari tahanan. Peluang yang ditunggu tidak akan dilepaskan.
       Seperti kucing dengan panggang peribahasa yang menunjukkan sesorang yang berjumpa dengan benda yang sangat dikehendakinya, kalau kurang diawasi tentulah barang berkenaan akan dapat diambilnya (biasanya dikaitkan kepada lelaki dan perempuan yang selalu berdekatan atau pun tidak pernah berenggang). Sesuatu perkara yang mustahil berlaku jangan berangan akan terjadi, umpama mengharapkan benda yang sia-sia seperti mengharapkan kucing bertanduk; puntung berasap; masak buah rumbia; menanti Kuaran bertelur; bakar air ambil abunya. Sesuatu yang pasti tidak akan terjadi, kucing telah dijadikan oleh Allah tidak bertanduk masakan manusia boleh mengubahnya. Begitu juga air sudah pasti anugerah Allah ini tidak akan dapat dibakar sampai bila-bila , jangan diharap untuk mendapatkan abunya.
Tumbuhan yang terdapat di persekitaran manusia dijadikan bahan perumpamaan terhadap kelakuan dan sikap manusia dalam kehiduapan seharian. Contohnya daun nipah disangka daun labu yakni menunjukkan seseorang yang segan bertanya tentulah timbul salah faham. Sedangkan daun nipah dan daun labu amat berbeza dari segi rupa bentuknya. Darah setampuk pinang yang bermaksud belum berpengalaman. Seseorang yang cetek pengalamannya digambarkan dengan darah dalam bekas tampuk pinang yang kecil sahaja. Tahu gadung itu mabuk, mengapa diratah-ratah? Ubi gadung sejenis tanaman, jika diratah dengan banyak ia akan memabukkan. Sikap ini sudah tentu akan menimbulkan banyak masalah dan membawa penyesalan. Ini bertepatanlah dengan maksud peribahasa ini iaitu sengaja mencari perselisihan, kemudian menyesali diri sendiri.
             Selain itu, peribahasa lain yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan ialah seperti gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak. . Ia membawa maksud orang yang meniru-niru perbuatan orang lain kerana mengharapkan keuntungan tetapi perbuatan itu sia-sia belaka.. Sesuatu perbuatan yang berlebih-lebihan itu, biasanya akan menjadi sia-sia. Ini ada kaitan dengan peribahasa yang berbunyi gulai terlampau serai, maung rasanya. Tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling masyarakat Melayu, mudah sahaja dikaitkan dengan peribahasa. Contohnya tebu dan asam. Bertanam tebu di tepi bibir bermaksud orang manis percakapannya tetapi hati di dalam lain jadinya. Gigi telah gugur, tebu menjadi-jadi juga merupakan peribahasa yang dikaitkan dengan tebu. Ia bermaksud sesuatu keinginan yang datang sesudah tidak ada kesempatan lagi untuk melakukannya.
            Orang Melayu, sememangnya beragama Islam. Islam percaya rezeki, maut dan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Ini dikaitkan dengan peribahasa yang ada kaitan dengan pokok asam misalnya peribahasa yang berbunyi garam di laut, asam di darat, di dalam periuk bertemu juga. Ia membawa maksud seseorang perempuan atau lelaki itu kalau sudah jodoh, mereka akan bertemu(berkahwin) juga pada akhirnya. Kaduk ialah sejenis tumbuhan liar yang banyak khasiatnya. Seperti kaduk naik ke junjung adalah satu peribahasa yang bermaksud keadaan seseorang yang hina tetapi berkelakuan mengada-ngada apabila dia mendapat sesuatu kesenangan seperti dinaikkan pangkat dan sebagainya. Dalam hubungan kekeluargaan juga , setiap anak buah selalu diingatkan supaya tidak bersikap sombong sebaliknya eloklah bersikap peramah dan baik hati.

3.1 Contoh Peribahasa Dalam Penggunaan

Penggunaan peribahasa dalam penulisan merupakan gaya dan teknik yang menarik dan dapat menarik minat pembaca. Keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi adalah fenomena yang berlarutan sehingga kini. walau pun berbagi cara dilakukan untuk mengatasinya namun gejala ini kian hari kian menular.
Pemuda-pemudi yang berakhlak tinggi amat penting dalam proses pembangunan sesebuah negara. Kewujudan pemuda-pemudi yang berkeadaan laksana layang-layang salah teraju dalam masyarakat amat merbahaya terhadap keruntuhan negara. Dari segi adab dan kesopanan, pemuda-pemudi yang rendah akhlaknya ini akan mengancam identiti nilai budaya timur. Masyarakat timur merupakan sebuah masyarakat yang kaya dengan sifat sopan santun dan berlemah lembut. Jika nilai-nilai negetif sudah terpaku di hati dan perasaan mereka, usaha untuk membetulkannya akan menjadi laksana layang-layang melawan angin.
 Pemikir-pemikir masyarakat yang tidak menyumbangkan ilmu, kepakaran dan pengalaman mereka untuk mengatasi masalah dan konflik nilai ini, hanyalah laksana pohon kayu tiada berbuah. Satu lagi gejala yang tidak sihat ialah keadaan perhubungan di antara pemuda-pemudi yang terlalu bebas. Golongan ini laksana kerbau, di mana rumput hijau di situ menerkam. Mereka haruslah dibimbing ke pangkal jalan dan disedarkan bahawa tindakan tersebut akan membahayakan diri sendiri. Kita sedar, gejala tersebut tidak akan berlaku jika kedua-dua belah pihak tidak melibatkan diri. Keadaan ini berlaku kerana lalat memanglah mencari puru.
           Kita sering terbaca berita-berita tentang gadis yang menerima nasib seperti ini. Pernah terjadi satu kisah yang menimpa seorang gadis yang berkulit hitam manis dan berlesung pipit, telah ditipu oleh seorang pemuda yang akan berusaha mencarikannya pekerjaan. Pertolongan itu semestinya didahului oleh pengorbanan maruah oleh gadis tersebut. Sebenarnya gadis itu tertipu dengan pemuda yang dianggapnya lurus bagai sumpitan.
         Kisah begini menggambarkan satu lagi gejala tidak sihat yang mengancam kesejahteraan masyarakat kita. Satu usaha yang positif untuk membenteras gejala-gejala ini mesti lah dibuat. Dalam soal ini biarlah kita lambat laga asalkan menang dalam perjuangan yang dilakukan itu.
           Contoh peribahasa dalam penggunaan dapat dilihat dalam hasil penulisan yang berjudul ‘Sikap Pasif yang Harus Dikikis’. Salah satu daripada punca kelemahan manusia ialah wujudnya sikap merendah diri yang tidak kena pada tempatnya. Ini tidaklah pula bermakna seseorang yang berpangkat itu mesti bersikap sombong, bongkak dan bermegah-megah kerana sikap tersebut juga akan membawa kecelakaan kepada diri sendiri kerana pepatah kita ada menyebut bahawa gajah mati kerana gadingnya.
          Kita sedar bahawa sikap memandang tinggi terhadap orang lain itu tidaklah mempunyai sebarang akibat yang buruk, terutama sekali jika kita memandang sifat itu dari sudut yang positif dan membawa kepada kesan yang baik.Tetapi apa yang mendukacitakan ialah wujudnya peniruan secara melulu, seperti kata pepatah, gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar juga. Sifat ini tidak harus diamalkan.
          Dalam usaha mencapai kemajuan, kita harus menerima nasihat, tunjuk ajar dan kritik yang membina. Jika seseorang itu menerima nasihat yang diberikan dengan sikap bagai garam jatuh ke air, amatlah berfaedah. Tindakan dan peniruan secara berpura-pura adakalanya dilakukan dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menimbulkankepercayaan orang lain kepadanya. Tindakan gaharu dibakar kemenyan berbau itu bukanlah satu sifat yang baik. Ada kalanya mereka terpaksa berlagak dengan tujuan untuk meyakinkan pihak peminjam bahawa mereka boleh membayar hutang-hutang mereka itu. Pada hakikatnya pinjaman itu digunakan untuk membayar hutang kepada pihak lain. Pinjaman itu hanyalah gali lubang tutup lubang sahaja.
     Perkara yang paling berbahaya lagi ialah jika kemudahan dan kepercayaan itu disalahgunakan pula dengan tindakan-tindakan yang merugikan seperti memboros wang perniagaan. Kalaulah keadaan itu berterusan, usahawan tersebut akan berhadapan dengan masa kejatuhan akibat daripada kesalahannya sendiri. Keadaannya seperti kata pepatah; gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya.
        Jika sikap negetif itu wujud dalam jiwa seseorang usahawan, kesannya dapat dilihat melalui perkembangan perniagaannya yang merosot. Nama baik dan kemajuan perniagaan mesti dijaga. Kita mesti berpegang kepada falsafah hidup yang diajar oleh orang tua-tua kita bahawa gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sekiranya seorang usahawan dicap tidak jujur dan tidak amanah dalam pekerjaan sendiri, orang ramai akan mengatakan gaya saja, rasanya wallah. Amat sukar untuk mencari orang-orang yang garam dikulum tidak hancur, untuk menyimpan rahsia begini.
            Dalam usaha menghindari gejala-gejala tersebut, sikap ingin berguru kepada yang tahu amatlah penting kerana sepertimana yang kita sedia maklum; gayung tua, gayung memutus.


4.0 Kesimpulan
           Peribahasa Melayu tercipta daripada pengalaman dan pengamatan ahli-ahli masyarakat Melayu sejak berzaman-berzaman. Pengalaman dan pengamatan ini berhubung erat dengan kehidupan masyarakat sehari-hari dan keadaan alam sekeliling. Peribahasa yang pada mulanya diperturunkan secara lisan dan diperkembangkan secara lisan juga seharusnya diusahakan supaya ianya dapat dikekalkan. Agar keindahan penggunaannya dalam bahasa Melayu tidak hilang ditelan zaman sebaliknya menjadi warisan bangsa yang ‘tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas’.

No comments:

Post a Comment